FOTO ALBUM 2014

Tajuk Berita

CUEPACS bantah JUSA, Turus diisi pihak luar

4/12-KUALA TERENGGANU: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak bersetuju dengan cadangan untuk mengisi jawatan utama perkhidmatan awam iaitu Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dan Turus dengan kepakaran luar terutama dari sektor swasta. 

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata cadangan itu jika dilaksanakan umpama menganaktirikan penjawat awam sedia ada yang sudah lama berkhidmat dan mempunyai pengalaman serta kepakaran dalam bidang tertentu.Katanya, keutamaan jawatan itu seharusnya diberikan kepada penjawat sedia ada terutama golongan muda yang mempunyai idea dan kebolehan agar kualiti kerja dapat ditingkatkan.
"Kenapa perlu ambil orang luar yang tidak tahu apa-apa tentang jabatan kerajaan sedangkan kita tahu masih ramai penjawat awam yang berkebolehan untuk menjawat jawatan itu. 

"Kalau sudah tiada (penjawat awam) yang layak...mungkin orang luar boleh mengisinya tetapi dengan syarat bukan semua jawatan ditawarkan," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat mengenai Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SSBPA) dan Pembangunan Bersepadu Penilaian Kompetensi (Prospek) di Stadium Negeri di sini hari ini. 

Omar mengulas laporan akhbar sebelum ini berkaitan cadangan untuk mengubahsuai skim JUSA dan Turus bagi membolehkan kepakaran luar termasuk dari sektor swasta diambil mengisi jawatan itu. 
"Pihak kami juga sudah memanjangkan perkara ini kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi membantah cadangan itu," katanya. - BERNAMA 

Tiada ulasan: