Tajuk Berita

KEMELUT SELESAI, TARIKH AKHIR OPSYEN SBPA DILANJUTKAN

PUTRAJAYA 23 Dis. – Kemelut mengenai pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akhirnya selesai dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) diberi hak berunding dalam isu berbangkit serta menjadi pemerhati dalam pelaksanaan dasar pemisah atau ‘exit policy’.
Perbincangan lebih tiga jam antara CUEPACS dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membawa hasil positif apabila masing-masing bersetuju supaya tarikh akhir untuk menerima opsyen SBPA dilanjutkan ke 15 Januari 2012, manakala tarikh akhir untuk penerimaan opsyen umur persaraan 60 tahun dikekalkan pada 30 Disember ini.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, JPA pada masa yang sama turut bersetuju supaya perkara-perkara mengenai pelaksanaan SBPA dirundingkan setiap tiga bulan sehingga hal-hal yang berbangkit dapat diselaraskan secara bersama.
“Mengenai penambahbaikan gred yang tertinggal dalam SBPA, semua gred 17 dalam Skim Saraan Malaysia (SSM) akan dibuat semakan semula dalam tempoh tiga bulan. CUEPACS berharap akan mendapat gambaran lebih lanjut mengenai perkara ini pada rundingan seterusnya.
“Pada masa sama, satu taklimat yang teliti mengenai kenaikan gaji antara tujuh hingga 13 peratus akan dibuat antara ahli majlis kongres bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah pada minggu depan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengarahkan rundingan dijalankan hari ini antara JPA dan CUEPACS bagi menentukan sama ada pelaksanaan SBPA akan ditangguhkan atau tarikh mengembalikan borang opsyen dilanjutkan.
Dalam pada itu, isu dasar pemisah yang menjadi kebimbangan penjawat awam turut diselesaikan pada hari ini apabila wakil CUEPACS dibenarkan menjadi pemerhati dalam panel pelaksanaan dasar tersebut.
Omar berkata, CUEPACS melihat dasar pemisah itu dari sudut yang positif kerana ia dapat mengelakkan masalah kewujudan penjawat awam yang tidak produktif.
“Wakil CUEPACS boleh memberi pandangan sebelum seseorang itu dikeluarkan dari jabatan, agensi, pihak berkuasa tempatan atau badan berkanun. Ini bagi mengelakkan terdapat penjawat awam yang teraniaya.
“Jabatan dan agensi di mana penjawat awam berkenaan berkhidmat juga tidak dibenarkan untuk mengambil tindakan memberhentikan seseorang penjawat awam di bawah dasar pemisah, keputusan itu mesti dibuat oleh JPA dengan kehadiran wakil CUEPACS,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Dr. Ismail Alias berkata, JPA dan CUEPACS secara keseluruhannya bersepakat untuk melaksanakan SBPA .
“Kita telah menyelesaikan semua isu. JPA amat gembira dan menghargai pandangan dan keputusan daripada pihak CUEPACS,” katanya.
Utusan Malaysia
23/12/2011

No comments: