PUTRAJAYA, 16 Jan - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu kesatuan itu dilibatkan dalam pasukan petugas khas yang diwujudkan bagi menyemak semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Presiden NUTP Hashim Adnan berkata penglibatan itu dirasakan amat perlu memandangkan NUTP mewakili sejumlah besar guru di seluruh negara.
"Kita juga telah pun mengumpulkan maklumat serta maklum balas yang diterima, untuk dikongsi dengan pasukan tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini Isnin.
Jumaat lepas, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan penubuhan pasukan petugas itu yang akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam.
Pasukan itu akan dianggotai pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan dan presiden Cuepacs serta pegawai kementerian berkaitan serta diberi tempoh dua bulan untuk menjalankan semakan semula SBPA.
Setiausaha Agung NUTP Loke Yim Phing pula berkata, SBPA bukan semuanya tidak baik, cuma ada beberapa aspek dirasakan perlu diperbaiki.
Katanya NUTP akan terus memberikan penerangan kepada warga guru dengan menjemput wakil daripada Kementerian Pelajaran untuk memberikan penjelasan kerana ada beberapa perkara dalam pekeliling SBPA terlalu teknikal dan sukar difahami.
"Kita hendak mengelakkan guru keliru seterusnya terpengaruh dengan kenyataan dalam blog yang bermacam-macam," katanya.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment