Tajuk Berita

\CUEPACS Minta Beri Perhatian Kepada Petugas Lama Pelaksana Gred-17 SBPA

KUALA TERENGGANU, 19 Feb - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan dapat memberi perhatian kepada kumpulan pekerja lama dalam kumpulan pelaksana Gred-17 skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Timbalan Presiden CUEPACS Azih Muda berkata pihaknya menyarankan kumpulan itu dinaikkan ke satu gred yang lebih tinggi sebagai pengiktirafan kepada petugas-petugas berkenaan.

"Sekarang ini kalau kita lihat, kerajaan hanya beri satu kenaikan saja kepada mereka yang berkhidmat (dengan kerajaan) hingga 30 tahun atau 35 tahun, iaitu sama dengan orang baru yang dinaikkan pangkat ataupun baru saja berkhidmat empat atau lima tahun.

"Dalam SPBA sekarang, mereka yang ada sijil diberi kenaikan kepada Gred T8. Tetapi yang sudah lama berkhidmat pula tidak berpeluang kerana mereka tidak dapat pengiktirafan...sedangkan mereka juga mempunyai sijil yang sama," katanya kepada pemberita di sini.

Sehubungan itu Azih berkata CUEPACS juga mahu lapisan gred kumpulan pelaksana untuk kenaikan pangkat ditambah kerana ketika ini jumlahnya adalah terlalu sedikit dan berharap perkara ini dikaji semula sewajarnya.

- BERNAMA

No comments: