Tajuk Berita

MERIAH!! MAJLIS PENUTUPAN KEJOHANAN RAGBI MSSM 2013


30 April - Majlis penutupan Kejohanan Ragbi MSSM 2013 disambut dengan meriah petang semalam pada jam 5.30 petang setelah tamatnya perlawanan akhir Kategori Bawah 18 tahun yang menjadi perlawanan kemuncak bagi kejohanan pada tahun ini.
Majlis penutup dirasmikan oleh Pengarah Pelajaran Perak, Tn Hj Muhamat Roli bin Hj Hassan bersama-sama dengan dif-dif terhormat yang lain. Majlis penutupan berlangsung sejurus selepas tamatnya perlawanan akhir antara pasukan Negeri Selangor dan
Pasukan Kuala Lumpur bawah 18 tahun yang telah dimenangi oleh Pasukan Negeri Selangor dengan skor 35-13.
Majlis yang dihadiri semua kontijen dari seluruh Malaysia dilangsungkan dengan penuh gilang-gemilang disertai dengan sorak gembira dari semua hadirin. Majlis yang bermula dengan nyanyian lagu Negaraku dinyanyikan dengan penuh semangat oleh semua ahli kontijen seterusnya bacaan doa dan ucapan penutup dari Pengarah Pelajaran Perak beserta penyampaian sijil penyertaan kepada semua peserta kejohanan ini.
Majlis mula menjadi meriah apabila penyampaian medal kepada semua pemenang-pemenang dan seterusnya penyampaian medal kepada juara kategori Bawah 18 tahun yang disampaikan sendiri oleh Pengarah Pelajaran Perak.
Keputusan rasmi Pasukan Negeri Selangor menjadi Juara Keseluruhan bagi Kejohanan  Ragbi MSSM 2013 dengan mengutip satu pingat emas Cup untuk kategori bawah 18 tahun dan satu pingat gangsa Cup untuk kategori bawah 12 tahun.
Kontijen tuan rumah hanya mampu berada di tempat kedua secara keseluruhan setelah mengutip dua pingat emas iaitu satu pingat emas Plate disumbangkan oleh pasukan bawah 18 tahun dan satu pingat emas Cup disumbangkan oleh pasukan bawah 12 tahun. Pada kejohanan Rugbi MSSM tahun ini, SK Raja Chulan diberi tangungjawab sebagai urusetia hadiah dan majlis penutupan rasmi.

No comments: