Tajuk Berita

Dua Sekolah Rosak Akibat Ribut


1 1
Dua buah sekolah dan beberapa rumah penduduk di sekitar Taman Cempaka, Ipoh mengalami kerosakan akibat ribut yang melanda di kawasan tersebut petang semalam.
Antara sekolah yang menerima kesan teruk adalah SK Raja Chulan apabila beberapa buah kelas tidak boleh digunakan dan mengakibatkan sebahagian bumbung dan atap bangunan tersebut diterbangkan angin kencang.
Kejadian itu menyebabkan 430 orang pelajar terpaksa dikumpulkan dalam satu bangunan bagi meneruskan sesi pembelajaran seperti biasa.
Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan kerana sesi persekolahan hanya melibatkan satu sesi iaitu pagi manakala kejadian itu berlaku di sebelah petang.
Menurut Pengetua Sekolah terbabit, Syed Musa Syed Hashim kejadian itu hanya disedari kira-kira 6.30 petang ketika beberapa orang guru pulang dari sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Perak.
"Saya terima panggilan daripada guru-guru bahawa keadaan sekolah teruk terjejas akibat ribut, saya bergegas ke sekolah dan dapati kawasan sekolah sudah banjir dan bumbung sekolah rosak teruk diterbangkan angin.
"Kabel elektrik turut terputus dan saya terus hubungi pihak TNB untuk elak memutuskan bekalan elektrik kerana takut berlaku lintar pintas," jelas Syed Musa.
Dalam pada itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kinta Utara, Mohd Fuad Yusof berkata, pihaknya telah mengambil tindakan selanjutnya bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin.


"Kita sedang menunggu keputusan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melaporkan sama ada faktor keselamatan pelajar adalah selamat, sekiranya tidak kita akan beri cuti atau tumpang pelajar di sekolah lain untuk sementara waktu," kata Mohd Fuad.
Kerosakan melibatkan bangunan Pendidikan Khas, blok pejabat sekolah, barangan elektrik dan perabot, bumbung dan tempat parkir kenderaan sekolah.
Selain itu, Sekolah Tunku Abdul Rahman turut mengalami kerosakan sama dan bangunannya turut terjejas.
Pengetua sekolah STAR, Abdul Hashim Abdul Karim berkata terdapat pokok tumbang di laluan pejalan kaki dan menyebabkan pagar sekolah rosak.
"Antara yang teruk akibat dipukul ribut adalah dewan makan dan setor penyimpanan dewan makan, mujur ketika kejadian berlaku semua pelajar berada di surau untuk solat Maghrib," katanya.
sumber :Perak News Online








No comments: