Tajuk Berita

GAJI PENJAWAT AWAM NAIK HINGGA 5 PERATUS

Kadar ikut prestasi, implikasi kewangan kerajaan

Putrajaya: Penjawat awam yang mencapai tangga gaji maksimum mungkin menerima kadar kenaikan gaji antara dua hingga lima peratus yang dijangka diumumkan pada bulan depan. 

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata kajian mengenainya sudah selesai dilaksanakan tetapi kadarnya akan bergantung kepada prestasi dan implikasi kewangan kerajaan. 


Saya tidak mahu lihat penjawat awam melakukan tugas dengan baik tetapi menerima gaji yang statik...ini yang ingin saya ketengahkan," Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara
Markah 80 dan ke atas

Bagaimanapun, katanya, kenaikan gaji itu hanya membabitkan kakitangan awam yang mempunyai prestasi perkhidmatan cemerlang serta mencatat markah 80 dan ke atas dalam Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT).


CUEPACS sebelum ini menganggarkan kira-kira 20 peratus atau sekitar 280,000 daripada 1.4 juta kakitangan awam berdepan tangga gaji yang sudah mencapai tahap maksimum tahun lalu.

“Saya sudah minta Jabatan Perkhidmatan Awam (kaji perkara itu). Mereka yang sudah sampai ke tahap gaji maksimum dan jika prestasi orang itu 80 peratus, akan menerima kenaikan.
“Saya tidak mahu lihat penjawat awam melakukan tugas dengan baik tetapi menerima gaji yang statik...ini yang ingin saya ketengahkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Amanat KSN bersama Penjawat Awam 2013 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini semalam.

Lebih kreatif, inovatif

Justeru, katanya, kakitangan awam perlu meningkatkan produktiviti kerja supaya lebih kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

“Jika mereka lebih kreatif dan inovatif, hasil kerja akan menjadi lebih produktif. Untuk itu, kerajaan tidak teragak-agak memberi emolumen dan sebagainya bagi mengiktiraf usaha mereka,” katanya.

Ali berkata pelaksanaannya perlu mendapat kelulusan kerajaan terlebih dulu tetapi setakat ini, kerajaan positif dengan perkara terbabit kerana faham gaji yang statik bukan penyelesaian terhadap prestasi kerja kakitangan awam khususnya yang cemerlang.

sumber :Berita Harian
22/1/2012

No comments: